Sungguh Allah Maha Pemberi Rezeki !

Sahabat Mutiara public khususnya para pembaca, post ini  merupakan ulasan ringkas dari kisah nabi Sulaiman as. dengan seekor semut yang telah dikeluarkan pada entri sebelum ini. tetapi post yang terdahalu lebih bersifat “copy and paste” daripada halaman lain dan ada kalanya bahasanya agak sukar difahami(bahasa indonesia), musafir khuatir maksud dan hikmah daripada penceritaan ini tidak dapat diambil dengan sempurna oleh pembaca.
Alkisah ini bermula dengan keinginan Nabi Sulaiman untuk mengetahui bagaimana Allah s.w.t memberikan rezeki kepada makhluk ciptaanNya, maka pada suatu hari bertemulah Nabi Allah ini dengan seekor semut. Nabi Sulaiman pun bertanya kepada semut tersebut, sebanyak manakah rezeki yang Allah berikan kepada semut dalam satu tahun? maka jawab semut ini adalah sebesar sekepalan tangan Nabi Sulaiman ini.
Setelah Nabi Sulaiman ini mengetahui hal sedemikian ini, beliau merasakan amat mudah baginya untuk memberikan rezeki kepada semut tersebut. Setelah sepakat membuat persetujuan, semut tersebut bersetuju untuk tinggal selama setahun dalam sebuah botol yang disediakan oleh Nabi Sulaiman yang di dalamnya telah diisi sekapalan makanan. Setelah setahun Nabi Sulaiman akan bertemu semula dengan semut tersebut.
Maka setelah tamat tempoh satu tahun, Nabi Sulaiman bertemu semula dengan semut yang berada dalam botol tersebut. Alangkah terkejutnya Nabi Sulaiman apabila melihat si semut tersebut hanya memakan separuh sahaja makanan didalam botol tersebut.
Nabi Sulaiman terus bertanya kepada semut tersebut, mengapakah engkau tidak menghabiskan kesemua makanan didalam botol ini, bukankah engkau telah menyatakan rezeki yang engkau perolehi dalam setahun adalah sebesar kepalan tanganku ini?
Maka semut itu menjawab dengan tenang, “wahai nabi yang mulia, memanglah benar apa yang hamba katakan, bahawa hamba mampu memperolehi rezeki dalam satu tahun sebesar kepalan tangan yang mulia, namun itu terjadi pada saat hamba tidak berada didalam botol ini. Dan pada saat itu hamba sangat yakin Allah akan memberikan hamba rezeki dan tidak akan melupakanku walau sedetik pun, sehingga aku yakin Allah akan menjamin rezekiku.
Tetapi kini, hamba yang lemah ini terkurung dalam botolmu, adakah kau (Nabi Sulaiman as) boleh menjamin bahawa engkau tidak akan lupa memberikan aku makanan kembali setelah satu tahun? Adakah kau berani menjamin hidup dan rezekiku di tanganmu?” jawab semut tersebut.
Mendengar jawapan tersebut, Nabi Sulaiman as terpegun dan kembali bersujud mohon ampun kepada Allah s.w.t dan melepaskan semut dari kurungan botol tersebut.
Ulasan:
Kisah ini adalah merupakan kisah yang jarang kita dengar penceritaannya bagi kita mencungkil hikmah di sebalik peristiwa ini. tetapi tidak terlewat bagi kita bersama-sama berfikir dan menilai kembali bertapa terpegunnya kita melihat keyakinan yang tinggi seekor semut yang kecil fizikalnya dalam kebergantungannya pada rezeki Allah.
Tidakkah kita merasa tercabar, bilamana seekor semut yang tidak diberi kelebihan akal itu lebih mulia disisi Allah berbanding manusia kerana mereka lebih yakin dan percaya pada rezeki yang Allah akan berikan kepada mereka.
Mungkin sahaja salah satu sifat manusia ini adalah mudah terlupa yang menjadikan kita ini insan yang kurang meletakkan keyakinan kepada rezeki yang Allah bagi. Kita lebih yakin bahawa individu lain yang memberikan rezeki kepada kita atau mungkin pekerjaan tertentu menjamin rezeki kita. Keyakinan sebegini seharusnya dinilai semula, bagaimana kisah semut ini walaupun telah dihimpunkan rezeki untuk setahun dan akan dijanjikan untuk diberikan rezeki selepas itu, semut ini masih tidak menyakini makhluk lain boleh menjamin rezeki yang akan diperolehinya dengan janji tersebut.
Keyakinan sang semut ini lebih tinggi kepada keyakinan rezeki yang Allah bagi berbanding rezeki yang makhluk lain beri kepadanya. Dalam kurungan botol tersebut menjadikan pergerakannya terbatas dan semut ini tidak boleh melata(bertebaran) segenap inci bumi tuhan ini bagi mencari rezeki, dan semut ini yakin bahawa Allah sahaja yang mampu menjamin rezeki setiap hambanya dan Dia lebih mengetahui apa yang harus diberikan kepada hambanya itu atau tidak.
Kita seharusnya sabar dengan rezeki yang telah digariskan oleh Allah s.w.t. Musafir ingin membawa pembaca kepada satu kisah yang berlaku di suatu tempat, dimana seorang peniaga yang terpaksa bekerja membuat dan menjual tempe(sejenis makanan yang dibuat daripada kacang soya) di pasar bagi menampung perbelanjaan keluarganya.
Setiap kali tempe yang telah siap dibuat akan di perap(simpan didalam satu bekas tertutup) sehingga satu tempoh tempe itu telah masak dan sedia untuk dijual.Hinggalah pada suatu hari, dalam peniaga ini melakukan rutin hariannya seperti biasa tetapi dengan izin Allah tempe yang diperap itu tidak masak-masak lagi. Setiap kali peniaga tersebut membuka bekas tersebut, tempe itu masih lagi tidak masak.
Peniaga ini runsing memikirkan rezekinya pada hari tersebut. Dia mengetahui tempe yang tidak dimasak itu tidak akan dibeli oleh pembeli, sekiranya tempe itu tidak dijual bagaimana dia hendak mendapatkan wang bagi menanggung perbelanjaan keluarga pada hari tersebut.
Hinggalah sampai satu masa peniaga ini terpaksa juga membawa tempe yang separuh masak ini ke pasar untuk menjualnya dan berdoa kepada Allah, ” Ya Allah, kiranya inilah rezeki pada hari ini, Kau berikanlah kepadaku”. Sepanjang perjalanan ke pasar tersebut, peniaga ini sentiasa berdoa kepada allah agar tempe ini sempat masak dalam perjalanan tersebut dan beliau dapat menjual tempe tersebut pada hari tersebut.
Tetapi itu tidak berlaku, tempe tersebut masih lagi tidak masak sepenuhnya. Dan beliau kehilangan banyak pelanggan pada hari tersebut kerana tempe yang dibawanya itu tidak begitu masak. Hinggalah pada hari yang semakin senja dan peniaga ini telah merasa sedih kerana tempe nya itu tidak laku di jual, datang seorang pelanggan yang bertanyakan kepadanya untuk membeli tempe separuh masak.
Kata pelanggan tersebut, beliau mahukan tempe separuh masak kerana mahu menghantar tempe tersebut kepada anaknya yang berada di luar negeri tersebut, dengan harapan apabila tempe yang sampai kepada anaknya setelah beberapa hari tempoh penghantaran dapat dimakan dengan enak oleh anaknya kerana tempe tersebut baru masak setelah tempoh tersebut. Maka peniaga tersebut amat bersyukur kerana dapat menjual tempenya pada hari tersebut.
Jelas dalam kisah yang ringkas ini, kita melihat bertapa Allah telah mengaturkan rezeki kepada setiap individu mengikut keadannya sendiri. Allah berikan rezeki tersebut sesuai dengan ukuran setiap hambaNya. Maka tidak seharusnya kita berasa dengki dengan rezeki yang diperolehi oleh orang lain.
Rezeki seharusnya dijemput bukan dicari. Kita yakin bahawa Allah telah menempatkan rezeki hambaNya pada suatu tempat yang sebenar yang telah kita juga ketahui, maka tidak perlu rungsing untuk mencari dimana rezeki yang Allah letakkan tetapi kita harus membuat perbagai persiapan bagi menjemput rezeki tersebut.
Kita tidak perlu risau, cemas, khuatir kerana takut tidak memperoleh rezeki atau mungkin kita tidak perlu memaksa diri untuk memperolehi rezeki sebanyak-banyakknya hingga melupakan hal-hal yang penting dalam hidup kita. Kerana kita yakin semua itu telah diatur oleh Allah s.w.t, yang penting kita harus berusaha memberikan yang terbaik dari apa yang kita ketahui dan miliki untuk memperolehi rezeki tersebut.
Tidak cukup dengan itu kita juga harus konsisten dalam meletakkan keyakinan yang mantap kepada Allah(tawakal), bahawa dia yang akan memberikan rezeki kita. sifat tawakal ini penting kerana ia memelihara diri kita dari sifat putus asa dan mengambil jalan mudah bagi mendapatkan sesuatu rezeki.
Sebagaimana dalam firman allah surah hud ayat 6,

Dan tidak ada suatu binatang melatapun di bumi ini melainkan semuanya dijamin Allah rezekinya. Dia mengetahui tempat kediamannya dan tempat penyimpanannya. semua tertulis dalam kitab yang nyata(luh mahfuz) (QS 11:6)

==========================================================================================================================
* menurut sebahagian mufasir, yang dimaksudkan dengan “tempat kediaman” disini ialah dunia, ‘tempat penyimpanan’ ialah akhirat. dan menurut mufasir lain, “tempat kediaman” ialah tulang sulbi dan “tempat penyimpanan'” ialah rahim.
(Al quran dan terjemahan, revisi terjemah oleh Lajnah Pentashih Mushaf Al-Quran, Departemen Agama Republik Indonesia)


Oleh: Achmad Jailani


DMCA.com Protection Status
* Silahkan anda sebar-luaskan artikel ini dengan syarat mencantumkan sumber : www.MutiaraPublic.com

Komentar Anda

Alamat Email Anda tidak akan Kami Publikasikan. Isian yang wajib diisi ditandai *

*

Time limit is exhausted. Please reload CAPTCHA.

This site uses Akismet to reduce spam. Learn how your comment data is processed.